KITA Retail Management Sdn Bhd

FESTIVAL WARISAN TIMUR @ Evo Mall Bangi

'Festival Warisan Selera Timur’ Bawakan Pengalaman Ori Pantai Timur Di Lembah Kelang

30,000 pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan budaya dan hidangan terbaik Pantai Timur sepanjang 3 hari Disember ini.

Selangor, 3 Disember 2025 – Evo Mall Bangi dengan bangganya membawakan ‘Festival Warisan Selera Timur’, sebuah festival bakal berlangsung selama 3 hari di Evo Mall, Bandar Baru Bangi, bermula pada 5 sehingga 7 Disember ini. Acara ini merupakan platform strategik untuk mengangkat warisan Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang kepada orang ramai khususnya  penduduk di sekitar Lembah Klang. Acara ini bakal menyajikan lebih 100 jenis hidangan ikonik, serta pelbagai aktiviti kebudayaan untuk sepanjang ia berlangsung.

Dengan membawakan tagline ‘Rasa Ori Tiga Negeri’, festival ini adalah sebuah platform yang telah direka bagi memperkasakan dan memperluaskan lagi jaringan vendor-vendor Industri Kecil dan Sedarhana (IKS) dari Pantai Timur, membawakan pelbagai jenis juadah istimewa, dan juga produk autentik khas untuk para pengunjung. Antara barisan menu Istimewa yang boleh didapati sepanjang ia berlangsung adalah seperti Satar dan Otak-Otak Warung Azis Satar Kemaman, Keropok Celup Tepung yang merupakan kegemaran ramai di Terengganu, dan Ketupat Sotong Dapur Aryani. Selain itu, turut disajikan ialah Nasi Kerabu, Laksa, dan Laksam yang mewakili keunikan Kelantan dan Terengganu, serta hidangan popular lain seperti Keropok Gemok dari Pasar Payang, Temosa Raja Ikan & Telur, Puding Raja, Sambal Hitam Marvel, dan aneka Kuih Tradisi. Acara ini juga turut mendapat sokongan strategik dari Tourism Malaysia sebagai salah satu acara bagi mempromosikan “Visit Malaysia 2026”.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall Bangi, Zetty Rahim “Penganjuran festival seumpama ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan lagi budaya, warisan, dan kesenian negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan juga Pahang kepada mereka yang berada di luar negeri-negeri ini. Dengan kerjasama rakan-rakan penaja lain seperti Noor Arfa Batik Industri Tekstile Terengganu, Cap Bunga Ros, Billo Malaysia dan juga Azue Bridal, penganjuran kali ini lebih meriah dengan sasaran 30,000 pengunjung.”

Selain dari pameran makanan, para pengunjung juga berpeluang untuk melihat dan mendalami kesenian dan juga budaya Pantai Timur. Pada malam Jumaat, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan Persembahan Dikir Barat istimewa menampilkan selebriti Issey dan kumpulan Dikir Exclusive. Malam Irama Pantai Timur akan diadakan pada Malam Sabtu, jam 8.30 malam, menampilkan penyanyi terkemuka mewakili negeri asal mereka, iaitu Ameng Spring, Rosma Sidik, dan Syafiq Farhain. Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan kebudayaan lain seperti Ulek Mayang dari Terengganu dan Joget Pahang. Manakala pada hari Ahad, pengunjung berpeluang mendengar perkongsian Istimewa dari ‘The Helmis’ mengenai pengalaman mereka berlayar bagi Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla.

Pelbagai aktiviti menarik lain turut disediakan, termasuk Pertandingan Mewarna, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Silat Gayong, Demo Masakan Tradisional, Cabaran Batu Seremban, dan pertandingan menghias pulut kuning, menjadikannya destinasi hujung minggu yang sesuai untuk semua golongan. Festival ini dibuka bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. 

Orang ramai, terutamanya yang tinggal di kawasan Lembah Klang, dijemput untuk merasai sendiri pengalaman budaya dan sajian makanan yang kaya dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia, apabila ‘Festival Warisan Selera Timur’ dijadualkan berlangsung di Evo Mall, Bandar Baru Bangi, bermula 5 hingga 7 Disember 2025.

A.M.A. Infinity Solution merupakan pengurus acara yang dilantik bagi memastikan festival ini menjadi kisah kejayaan seterusnya bagi Evo Mall Bangi.

Scroll to Top